KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan petunjuk bercampur-campur daripada ekonomi dan pasaran kewangan AS yang menjejaskan prospek mata wang negara itu.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0450/0520 berbanding dolar AS daripada 4.0445/0490 semasa ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sebanyak 0.03 peratus kepada 101.60, disokong oleh petunjuk daya tahan pasaran tenaga kerja AS.
Beliau berkata petunjuk pasaran tenaga kerja seperti tuntutan awal faedah pengangguran terus menurun kepada 189,000 pada minggu lepas, menunjukkan pasaran tenaga kerja AS kekal baik.










