KETIKA dunia menghadapi ketidaktentuan bekalan makanan global dan harga barang yang tidak menentu, kisah Nabi Yusuf lebih 3,000 tahun lalu sebenarnya memberikan panduan yang sangat relevan untuk Malaysia hari ini.

Baginda telah berjaya membina sistem simpanan makanan yang tersusun dan menguruskan krisis dengan bijaksana. Persoalannya, sejauh manakah kita benar-benar mengamalkan prinsip tersebut?

Malaysia sering digembar-gemburkan sebagai negara yang kaya dengan sumber makanan. Namun realitinya, kita masih bergantung pada beras import untuk menampung keperluan rakyat.

Sehingga 31 Disember 2024, jumlah stok fizikal beras dalam negara adalah sebanyak 917,937 tan metrik, merangkumi stok penimbal negara sebanyak 200,000 tan metrik dan stok dagangan 717,937 tan metrik. Jumlah ini hanya mampu menampung keperluan negara selama 4.59 bulan.