KUALA LUMPUR: APB Resources Bhd bercadang untuk melupuskan Menara APB, sebuah bangunan pejabat 16 tingkat di Shah Alam, Selangor kepada Darul Ehsan Investment Group Bhd (DEIGB) pada harga tunai RM45 juta.

APB Resource, yang terlibat dalam pegangan pelaburan, fabrikasi proses rekaan khas dan peralatan kejuruteraan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata ia telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan DEIGB, anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Diperbadankan), hari ini.

Cadangan pelupusan itu dijangka menjana anggaran keuntungan bersih RM3.23 juta dan penjimatan faedah tahunan sebanyak RM1.67 juta melalui pembayaran balik pinjaman.

APB Resources merancang untuk menggunakan RM37.07 juta daripada hasil ke arah pembayaran balik pinjaman, RM5 juta sebagai modal kerja, RM936,000 untuk cukai keuntungan hartanah dan RM1.99 juta lagi bagi menampung perbelanjaan pelupusan tersebut.