Kuala Lumpur: "Siapalah saya nak memperlekehkan drama radio?" kata pelakon, Beto Kusyairy apabila masih meneruskan pembabitan dalam drama radio meskipun medium berkenaan didakwa tidak mempunyai nilai komersial.

Beto atau nama sebenar Nur Kusyairy Zakuan Osman berkata, pembabitannya dalam teater, filem dan drama radio selama hampir belasan tahun didorong kepentingan menimba ilmu pengetahuan baharu dalam seni lakonan.

"Kepuasan dan saya lebih utamakan ilmu pengetahuan. Bagi saya, teater ialah asas kepada lakonan, kebanyakan bermula daripada teater.

"Tapi ramai tak sedar bahawa menerusi drama radio, kita boleh 'explore' macam-macam dari sudut tonasi suara dan kita nak meyakinkan pendengar hanya dengan suara tanpa visual," katanya.