ALOR SETAR: Sebanyak RM651,000 berjaya dikutip menerusi Wakaf FundRun 2026 anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) bersempena dengan Alor Setar Car Free Saturday yang berlangsung di Dataran Medan Bandar, di sini hari ini.
Acara pelepasan larian sejauh 2.5 kilometer, 5km dan 7km telah disempurnakan oleh Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, merangkap Yang Dipertua MAIK.
Ketua Pegawai Operasi MAIK, Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, berkata sambutan penyertaan bagi program julung-julung kali diadakan itu juga telah melebihi sasaran yang ditetapkan sebelum ini, iaitu sebanyak 3,030 penyertaan.
"Objektif penganjuran ini adalah memupuk kesedaran masyarakat peri penting berwakaf dan mengumpul dana untuk pembangunan 15 projek institusi keagamaan di Kedah. Ini sebahagian usaha MAIK meningkatkan wakaf tunai.










