KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Republik Lubnan memperkukuh hubungan pertahanan kedua-dua negara, selain menzahirkan komitmen berterusan Malaysia terhadap usaha keamanan dan kestabilan antarabangsa menerusi pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
Lawatan berkenaan adalah kunjungan rasmi pertama Mohamed Khaled ke Lubnan sebagai Menteri Pertahanan dengan agenda turut memberi tumpuan kepada kesinambungan kerjasama pertahanan selepas tamatnya penugasan MALBATT di bawah UNIFIL.
Turut menyertai delegasi itu adalah Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Anwar Udzir; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar), Datuk Mohd Yani Daud dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.






