Kuching: Pengerusi Eksekutif Kuching City FC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada ketua jurulatih untuk merencanakan strategi terbaik menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor FC.
Beliau menegaskan urusan taktikal dan persiapan pasukan harus ditentukan sepenuhnya oleh Aidil Sharin Sahak yang lebih mengetahui pendekatan sesuai bagi menghadapi cabaran skuad Gergasi Merah.
"Saya serahkan kepada ketua jurulatih kerana beliau lebih tahu bagaimana untuk menghadapi Selangor.
"Kita ada kepercayaan penuh kepada beliau dan saya yakin kita boleh membuat kejutan," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Santai Belia PBB Petra Jaya, hari ini.









