Tokyo: Bekas pemain antarabangsa Jepun, Kazuyoshi Miura mencipta rekod sebagai pemain tertua beraksi dalam saingan liga divisyen tiga Jepun apabila pemain berusia 59 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Fukushima United mencatat kemenangan 4-1 ke atas FC Ryukyu di laman sendiri, hari ini.

Miura yang mesra dikenali sebagai "King Kazu", dimasukkan pada masa kecederaan babak kedua ketika berusia 59 tahun, lapan bulan dan 12 hari sekali gus memperbaharui rekod peribadinya dalam Liga J.

Penampilan itu adalah aksi pertamanya dalam perlawanan liga sejak 2021, ketika dia beraksi sekali dalam saingan divisyen tertinggi Jepun bersama kelab induknya, Yokohama FC.

Bekas penyerang Jepun itu yang terus beraksi secara profesional merentasi lima dekad turut menamatkan penantian hampir empat tahun untuk menjaringkan gol kompetitif apabila meledak jaringan dalam saingan Piala Maharaja pada Julai lalu.