REMBAU – Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kereta Proton Saga dinaiki terbalik ke dalam longkang berpunca cuba mengelak konvoi motosikal yang dipercayai memasuki laluan secara mengejut di Kilometer 242, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, mangsa lelaki berusia 75 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya berusia 70 tahun menghembuskan nafas terakhir ketika dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk mengesan kumpulan penunggang motosikal terbabit.









