JASIN: Suami isteri dalang kegiatan pengedaran dadah rentas negeri ditahan bersama lebih 3.2 kilogram (kg) dadah jenis 3,4-metilenedioksimetamfetamina (MDMA) di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), dekat Merlimau di sini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata pasangan berusia 45 tahun dan 32 tahun itu ditahan selepas dadah dalam bentuk paket itu ditemukan dalam kotak di tempat duduk penumpang kira-kira jam 1.30 tengah hari, Jumaat lalu.
Polis turut menyita Toyota Vellfire dianggar bernilai RM100,000, barang kemas seberat 26 gram bernilai RM18,814 serta wang RM2,800 dengan jumlah keseluruhan rampasan ialah RM617,714.
"Dadah berbentuk serbuk itu dipaket menggunakan pelbagai label termasuk 'Pink Panther' dan 'Captain America' dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya pada sidang media hari ini.








