KULIM – Tindakan nekad seorang wanita mengekori suaminya secara senyap membongkar rahsia gelap lelaki itu yang dicekup berkhalwat bersama wanita lain di sebuah hotel di sini, pagi tadi.
Lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 42 tahun itu ditahan pegawai masjid di dalam bilik hotel di Padang Serai, di sini kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, tangkapan dilakukan ketika isteri lelaki terbabit turut berada di lokasi selepas dipercayai mengekori suaminya sejak tengah malam.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu berstatus suami orang dan mempunyai dua anak serta bukan beragama Islam, manakala wanita berkenaan merupakan seorang ibu tunggal beragama Islam yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun.









