BENTONG: Sambutan Deepavali menjadi detik paling dinanti-nantikan penduduk estet kelapa sawit di sepanjang Jalan Karak-Manchis, di sini, apabila kepulangan anak-anak dan cucu-cicit menghidupkan kembali suasana komuniti yang semakin mengecil.

Bagi R Gopal, 55, dan isteri, S Puspa Devi, 49, kemeriahan perayaan itu bukan sekadar dihiasi muzik, cahaya lampu dan bunyi mercun, sebaliknya lebih bermakna apabila kelima-lima anak mereka yang berusia antara 21 hingga 28 tahun dapat berkumpul di bawah satu bumbung.

Gopal yang dilahir dan dibesarkan di estet berkenaan, menyaksikan sendiri perubahan komuniti itu yang semakin mengecil apabila semakin ramai keluarga bersara, berpindah dan memulakan kehidupan baharu di tempat lain.