PETALING JAYA – Seorang wanita dipercayai hamil didakwa mencuri sepasang selipar di hadapan sebuah rumah, tidak sampai seminit selepas pemiliknya masuk ke kediaman tersebut.

Kejadian yang berlaku pada Isnin lalu kira-kira pukul 8.11 malam itu dikongsikan pengguna Threads, @pejoilaa, dipercayai berlaku di sebuah apartmen.

Menerusi tangkap layar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan, wanita itu dipercayai sudah memerhati dari jauh ketika lelaki itu bersama keluarganya ingin masuk ke rumah.

Tidak lama kemudian, wanita itu dilihat menghampiri kawasan hadapan rumah secara perlahan sebelum membongkok di tempat beberapa pasang kasut dan selipar diletakkan.