KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai identiti seorang lelaki bertopi keledar yang dilihat memegang pistol dalam kejadian kejar-mengejar di Jalan Sultan Salahuddin berhampiran Bukit Tunku di sini, semalam, akhirnya terjawab apabila individu terbabit merupakan anggota polis yang sedang menjalankan operasi.

Kejadian yang mencetuskan kebimbangan orang ramai itu sebenarnya melibatkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang sedang menjalankan Op Tapis Khas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang semalam apabila anggota polis mengesan sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.