Sencur, Slovenia: Tadej Pogacar kembali berkayuh di jalan raya selepas hampir sebulan berehat susulan kemalangan serius pada perlumbaan La Vuelta, namun mengakui tahap kecergasannya masih belum cukup untuk kembali beraksi dalam perlumbaan.
Pelumba Slovenia itu mendedahkan dia sudah seminggu menjalani kayuhan di luar selepas sebelum ini memulakan proses pemulihan menggunakan basikal statik.
"Saya sudah berbasikal di luar selama seminggu dan sekarang saya tahu prestasi saya sangat teruk," kata Pogacar selepas menyaksikan perlumbaan kategori Elit lelaki pada Kejohanan Eropah.
Kenyataan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan juara dunia itu melakukan kemunculan semula lebih awal.
Pogacar sebelum ini mengalami keretakan tulang selangka kiri, keretakan stabil pada tulang belakang C7 dan gegaran otak selepas terbabit dalam kemalangan pada 29 Ogos ketika La Vuelta.









