Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari memberi jaminan untuk meneruskan peruntukan kewangan kepada ADUN pembangkang serta memperluas sistem pendigitalan ‘Smart Melaka’ sekiranya PH kembali mentadbir kerajaan negeri.

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) komited meneruskan pemberian peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang jika kembali mentadbir Melaka, seperti dilakukan ketika menjadi kerajaan negeri pada 2018.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata pemberian peruntukan itu wajar bagi memastikan semua wakil rakyat mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menjalankan tanggungjawab dan berkhidmat kepada masyarakat.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata ketika PH mentadbir Melaka pada 2018, mereka menjadi kerajaan negeri pertama yang memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang.