KUALA LUMPUR: Scicom (MSC) Bhd sedang memperluas perniagaan teknologi kerajaan (GovTech) pada peringkat antarabangsa menerusi model pembiayaan awam-swasta yang membantu kerajaan memodenkan keselamatan sempadan tanpa perbelanjaan modal awal yang besar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Leo Ariyanayakam, berkata syarikat giat mendapatkan kontrak teknologi pengurusan sempadan dan imigresen dalam pasaran utama di Asia Selatan, Asia Tenggara serta Afrika.
"Teknologi pengurusan sempadan kami dirangka sebagai platform perusahaan yang menyeluruh.
"Ia meliputi kawalan imigresen, biometrik, dokumen perjalanan, pengeluaran visa dan permit, saringan awal penumpang, penguatkuasaan serta pengurusan kes, dengan penilaian risiko pengembara dibantu kecerdasan buatan (AI) dan disepadukan dalam aliran kerja berkenaan," katanya kepada Bernama.









