Kuala Lumpur: Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dilaporkan sesak namun terkawal, manakala Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) masih lancar setakat petang ini.
Ia berikutan penambahan kenderaan susulan orang ramai pulang ke destinasi masing-masing selepas hari terakhir cuti perayaan Deepavali, hari ini.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, trafik di lebuh raya PLUS di wilayah Utara sesak dari Sungai Dua ke Prai, Bandar Cassia ke Jawi, Bandar Bahru ke Jawi, Kuala Kangsar ke Terowong Menora dan Ipoh(U) ke Terowong Menora.
Beliau berkata, aliran trafik lancar dilaporkan di Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), manakala di Jambatan Pulau Pinang trafik dilaporkan sesak iaitu di Prai ke Pulau susulan kereta rosak di Kilometer (KM) 8 arah barat, menyebabkan lorong kanan terhalang.









