Kuala Lumpur: Melihat beg mayat mangsa tanah runtuh tersusun dalam trak polis menjadi antara pengalaman paling sukar dilupakan Mohamad Shahril Badri Saali sepanjang 20 tahun bergelar jurufoto.

Mohamad Shahril, 46, yang sudah 15 tahun berkhidmat sebagai Jurufoto The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) berkata, pengalaman itu dilaluinya ketika membuat liputan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Disember 2022.

Tragedi yang meragut 31 nyawa itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya, malah ia kejadian tanah runtuh kedua paling buruk daripada segi jumlah kematian selepas Highland Towers pada 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

"Paling membuatkan saya sayu apabila melihat barisan bungkusan mayat mangsa yang disusun dalam trak polis sebelum dibawa ke hospital.