KUALA TERENGGANU: Ketiadaan galeri seni khusus menyebabkan Persatuan Pelukis Terengganu (Peter) berdepan kesukaran mempamerkan hasil karya kira-kira 80 ahlinya sekali gus mengehadkan peluang orang ramai menghayati keunikan seni lukisan tempatan.
Persatuan itu memerlukan sebuah galeri tetap yang bukan sahaja berfungsi sebagai ruang pameran, malah menjadi pusat penyimpanan koleksi lukisan serta lokasi penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan seni.
Ahli Jawatankuasa Peter, Mohd. Fauzi Ibrahim berkata, persatuan mempunyai banyak perancangan untuk mengembangkan kegiatan seni lukis, namun ketiadaan premis khusus menyebabkan usaha berkenaan terbatas.
Katanya, peminat seni sering bertanya mengenai lokasi untuk melihat hasil karya pelukis Terengganu, tetapi persatuan tidak mempunyai tempat tetap untuk membawa mereka menghayati koleksi berkenaan.






