Kuala Lumpur : Meskipun sibuk mencipta nama dalam industri seni, ia bukan penghalang buat pelakon, Aniq Suhair untuk menggenggam segulung ijazah dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di City University.

Aniq atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, akhirnya merealisasikan impian berkenaan dengan menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun tanpa menangguhkan walau satu semester.

Selepas menamatkan pengajian di peringkat asasi pada usia 19 tahun, Aniq terlebih dahulu memberi tumpuan sepenuhnya kepada dunia lakonan sebelum membuat keputusan menyambung pelajaran.

Mengulas mengenai cabaran bergelar pelajar, pelakon berusia 26 tahun ini berkata, dia perlu membahagikan masa antara kerjaya lakonan, urusan perniagaan dan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa.