KUALA LUMPUR: Taiwan mengesahkan pihaknya menangguhkan rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan dalam wawancara dengan Al Jazeera pada Ogos lalu yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.
United Daily News, dalam laporannya memetik jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei, sebagai berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kedaulatan negara dan keselamatan ekonomi pulau berkenaan, selain melindungi kepentingan pelabur Taiwan.
Hsiao berkata demikian sebagai mengulas laporan Nikkei Asia bahawa Taiwan membatalkan rundingan perdagangan dua hala dengan Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada akhir Oktober lalu.









