KOTA BHARU: Bermula sebagai usaha mengawal kemurungan, minat seorang suri rumah, Umi Humaira Akmal, 41, terhadap seni tulisan tangan kini berkembang menjadi sumber pendapatan menerusi penghasilan kaligrafi dan penulisan sijil.
Selepas tujuh tahun belajar secara kendiri, ibu kepada enam cahaya mata itu kini mahir menghasilkan tulisan dalam 12 jenis font, termasuk brush pen dan copperplate yang mendapat permintaan pelanggan.
Umi Humaira berkata, penglibatannya dalam bidang seni bermula pada 2016 apabila dia mencari kaedah mengawal kemurungan yang dialami sejak zaman persekolahan.
Katanya, pada awalnya dia memilih aktiviti melukis doodle sebagai medium menyalurkan emosi sebelum mula meneroka seni tulisan tangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).










