TIMBUNAN baju yang belum berlipat selepas dibasuh bukan lagi sekadar kerja rumah yang tertangguh, sebaliknya membuka peluang kepada wanita menjana pendapatan menerusi perkhidmatan melipat pakaian dari rumah.

Bagi sesetengah individu, khidmat itu menjadi sumber pendapatan sampingan untuk mengisi masa lapang, manakala bagi yang lain, ia adalah ikhtiar mencari rezeki demi kelangsungan hidup keluarga.

Pelajar universiti, Norumairah Qhairina Mohammad, 22, dari Tanjung Minyak, Melaka berkata idea menawarkan perkhidmatan itu tercetus selepas melihat ramai individu, khususnya golongan bekerja dan suri rumah, kesuntukan masa untuk menguruskan pakaian yang bertimbun.

Menurutnya, kesibukan bekerja dan menyelesaikan tugasan rumah menyebabkan sebahagian individu tidak sempat melipat pakaian meskipun kerja membasuh sudah selesai.