LONDON: Pembikin filem India berharap dapat membawa industri perfileman negara itu ke tahap global lebih tinggi menerusi Ramayana: Rise of a Legend, adaptasi epik Hindu purba yang menghimpunkan barisan pelakon dan tenaga kreatif terkemuka Bollywood serta Hollywood.
Ditayangkan di pawagam seluruh dunia sejak Khamis lalu, filem mega itu mengambil masa lebih sedekad untuk direalisasikan, dengan kos penerbitan keseluruhan dilaporkan mencecah AS$420 juta (kira-kira RM1.7 bilion) bagi pembikinan dua bahagiannya.
Bintang Bollywood, Ranbir Kapoor yang membawakan watak Putera Rama, berkata projek berkenaan berjaya menarik penyertaan tenaga kreatif dari seluruh dunia.
"Ramai individu dari seluruh dunia datang untuk menjayakan projek ini. Justeru, kami mempunyai platform untuk menzahirkan kemampuan masing-masing pada tahap terbaik," katanya kepada AFP di sini, menjelang tayangan filem itu.








