KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bakal menikmati akses pembiayaan lebih luas menerusi pembangunan National E-Invoice Financing Exchange (NEFX), platform digital yang memanfaatkan data transaksi e-Invois bagi membantu institusi kewangan menilai kelayakan kredit serta risiko pembiayaan perniagaan.

Inisiatif yang dibangunkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu diperkukuh menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tujuh rakan pembiayaan bagi membangunkan ekosistem pembiayaan digital yang lebih telus, cekap dan berasaskan data.

Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah, berkata NEFX bukan bertujuan melonggarkan syarat pemberian pinjaman, sebaliknya menyediakan maklumat transaksi perniagaan yang lebih menyeluruh bagi membolehkan institusi kewangan membuat keputusan pembiayaan lebih tepat.