KUALA LUMPUR: Sokongan terhadap seseorang artis tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyerang, menghina atau memperlekehkan pihak lain, sebaliknya perlu disertai sikap saling menghormati dan menjaga adab ketika berbeza pendapat.

Itu antara peringatan komuniti peminat penyanyi dan pelakon, Amira Othman, Official Team Amira (OTA), yang mengingatkan semua penyokong supaya lebih berhemah ketika menyuarakan pandangan, khususnya di media sosial.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, OTA mengajak peminat supaya tidak menjadikan perbezaan pendapat sebagai ruang untuk menyerang, menjatuhkan atau memperlekehkan mana-mana pihak.

Menurut komuniti itu, setiap individu mempunyai pandangan tersendiri, namun perbezaan berkenaan perlu disampaikan dengan penuh rasa hormat dan kematangan.