PEMBENTUKAN Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mencorakkan lembaran baharu politik negara apabila parti yang sekian lama bersaing dan bermusuhan akhirnya mengetepikan perbezaan, sanggup duduk semeja serta berganding bahu memikul tanggungjawab mentadbir Malaysia.
Penyatuan yang disarankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berikutan keputusan PRU15 yang menyaksikan tiada mana-mana parti atau gabungan politik memperoleh majoriti mudah 50 peratus untuk membentuk kerajaan dianggap jalan terbaik bagi mengelakkan ketidaktentuan politik.
Bagaimanapun, perjalanan kerajaan yang menghimpunkan pelbagai parti dengan latar perjuangan berbeza tidak mudah. Ini kerana setiap komponen mempunyai pendirian, kepentingan dan kelompok penyokong tersendiri.










