BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki berusia 43 tahun cedera dalam kejadian samun membabitkan empat suspek bersenjatakan objek tajam di susur masuk sebuah stesen minyak di Jalan Samagagah, Permatang Pauh.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata kejadian kira-kira 11.30 pagi itu dipercayai melibatkan suspek warga asing dari negara Asia Tengah dengan dua daripadanya adalah wanita.
“Dalam kejadian tersebut, suspek dipercayai bertindak agresif dan menggunakan objek besi tajam sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan sebelum melarikan barangan peribadi milik mangsa, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan sebanyak RM10,000.
“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan meminta sumbangan wang daripada orang awam yang berada di kawasan stesen minyak sebelum bertindak melakukan jenayah samun,” katanya dalam kenyataan.








