KUALA LUMPUR: Penentuan calon pengganti Anthony Loke dalam barisan Jemaah Menteri diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, berkata soal pelantikan menteri adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan beliau adalah individu paling layak untuk membuat keputusan terbaik demi pentadbiran kementerian.

"Itu terpulang kepada Perdana Menteri untuk memutuskannya. Soal pelantikan menteri adalah perkara yang berada di bawah budi bicara mutlak Perdana Menteri. Jadi, kita serahkan kepada beliau.

"Beliau yang lebih mengetahui dan beliau akan menentukan siapa yang dirasakan paling layak mengemudi kementerian dengan baik atau sama ada terdapat keperluan untuk melantik menteri baharu. Saya tidak tahu dan tidak boleh mengulas lanjut kerana ia di luar pengetahuan saya," katanya pada pemberita, di sini, hari ini.