KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memulakan fasa kedua program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang memfokuskan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di luar Depot Tahanan Imigresen (DTI) dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program pendataan komuniti pelarian Myanmar di seluruh negara itu kini masih berada pada fasa pertama yang memberikan tumpuan kepada individu di dalam DTI.
"Kerajaan juga sedang meneliti kesesuaian pelaksanaan kawalan pergerakan kepada golongan-golongan ini dengan mengambil kira kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara serta hak asasi manusia," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.










