KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia memberikan kerjasama berhubung sebarang permohonan rasmi untuk menjalankan siasatan terhadap Speedmatrix Sdn Bhd, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan masih belum menerima sebarang permohonan sedemikian.

“Jika mereka mempunyai kes, datanglah untuk membuat pemeriksaan. Tiada masalah. Kita akan memberikan kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MySaham MITI di sini pada Khamis.

Johari berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan telah menerima permohonan rasmi untuk menyiasat Speedmatrix, anak syarikat Megaspeed International, sebuah syarikat pengkomputeran awan yang berpangkalan di Singapura.