KUALA LUMPUR: Pelantikan semula Datuk Seri Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 5 November 2026 membawa mandat lebih besar untuk meletakkan universiti itu sebagai peneraju ilmu, inovasi dan penyelesaian kepada cabaran global.
Menghadapi landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar, Noor Azuan mahu penggal baharu dimanfaatkan untuk memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan, memperkasa pembangunan bakat serta mempercepat transformasi teknologi dan kelestarian kampus.
Menurutnya, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan teknologi digital menuntut universiti melakukan anjakan besar, bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan, malah berupaya menerajui perkembangan berkenaan.









