MELAKA: Pemilihan seorang calon dalam pilihan raya untuk mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak terhenti hanya sekadar proses demokrasi, sebaliknya turut menentukan laluan terhadap pembangunan lebih mampan di sesebuah kawasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 Sabtu ini, boleh memainkan peranan lebih besar sekiranya sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Adam Adli Abd. Halim berpandangan, seseorang ADUN harus berperanan lebih daripada ruang lingkup negeri iaitu menyuarakan kepentingan masyarakat ke peringkat tertinggi.
“Tak semestinya apabila kita sebut menghantar wakil ke dalam DUN hanya tersekat kepada kena menang sebagai kerajaan. Kita ada sejarah panjang sama ada sebagai pembangkang atau pun sebagai kerajaan dan sebagainya.










