GEORGE TOWN: Pemegang saham Perbadanan Bekalan Air Holdings Sdn. Bhd. (PBAHB) meluluskan pembelian air terawat secara pukal dari Perak bagi memenuhi keperluan bekalan Pulau Pinang mulai tahun 2032.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kelulusan tersebut diperolehi menerusi sokongan 97.93 peratus pemegang saham terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Lembaga Pengarah PBAHB dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan semalam.

Menurutnya, kelulusan berkenaan membolehkan PBA Pulau Pinang (PBAPP) memenuhi salah satu syarat terdahulu (condition precedent) dalam perjanjian pembelian air terawat antara kedua-dua pihak.

”Kita akan memaklumkan keputusan ini kepada Bursa Malaysia dan juga pihak syarikat di Perak supaya langkah seterusnya dapat diambil bagi memulakan projek berkaitan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat tersebut, semalam.