MELAKA: UMNO memberi peringatan keras kepada DAP supaya kembali mematuhi syarat dan garis merah yang dipersetujui dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, termasuk tidak mempersenda institusi Raja-Raja Melayu, agama Islam serta keistimewaan orang Melayu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya mana-mana pihak dalam kerajaan berasakan tidak lagi mampu berpegang kepada syarat yang telah dipersetujui, maka mandat sewajarnya dikembalikan kepada rakyat.

Jelas beliau, sekiranya syarat tersebut tidak lagi dapat dipatuhi, maka perjanjian yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan boleh dianggap terbatal.

Menurut beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mahu mengambil jalan pintas dengan melakukan pertukaran kerajaan atau Perdana Menteri menerusi apa yang disifatkan sebagai tindakan ‘tebuk atap’.