PETALING JAYA – Penduduk setempat termasuk wakil masjid turun padang membantu polis menyerbu sebuah premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian di Bandar Puteri Bangi, di sini, kira-kira pukul 11 malam tadi.
Operasi itu dilakukan susulan laporan polis dibuat Persatuan Penduduk Bandar Seri Putra (PPBSP), Masjid Bandar Seri Putra dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Balai Polis Bangi selepas menerima aduan orang ramai mengenai kegiatan berkenaan.
Hasil serbuan, polis menahan sembilan individu selain merampas beberapa peralatan elektronik termasuk tablet yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian.
PPBSP menerusi Facebook memaklumkan, hasil perbualan dengan individu yang ditahan, pihaknya turut memperoleh maklumat mengenai beberapa lagi premis perjudian yang didakwa beroperasi di Taman Awani Bangi dan Bandar Bukit Mahkota.









