Serdang: Saingan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 anjuran bersama Harian Metro membabitkan Zon Tengah-Selatan di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) mula memperlihatkan kehangatan apabila 24 pasukan berentap memburu kemenangan pada pusingan awal kejohanan.

Aksi yang berlangsung menyaksikan beberapa regu mempamerkan penguasaan meyakinkan apabila berjaya melakar kemenangan straight set, manakala pertembungan tiga set turut menghadirkan saingan sengit dalam usaha mengutip mata berharga.

Dalam Kumpulan A, Titibolt Takraw memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan Vol Trace 15-2, 15-3 untuk mencatat kemenangan mudah.

Warisan A pula terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan KST Naga Rimba 15-10, 12-15, 15-7 dalam aksi Kumpulan B yang menyaksikan kedua-dua regu saling menguji kekuatan.