Manila: Malaysia berharap cadangan dikemukakan iaitu pendekatan Diplomasi Sains dan penubuhan Dana Jerebu Mampan dalam menangani isu pencemaran jerebu rentas sempadan dapat dipertimbangkan secara serius oleh negara anggota ASEAN pada sidang kemuncak kali ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh kerjasama saintifik selain meningkatkan proses pembuatan keputusan berasaskan bukti.
Ia juga bagi memastikan sokongan kewangan yang lebih mampan bagi pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).
Cadangan itu, katanya, sudah dikemukakan Malaysia ketika mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Serantau (MSC) di Bali, Indonesia pada Julai lalu.









