Penghantaran pertama dua pesawat pejuang ringan FA-50M dari Korea Selatan diterima TUDM pada awal bulan ini. (Gambar RMAF)KOTA TINGGI: Malaysia dijangka menerima keseluruhan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M dari Korea Selatan menjelang Mac 2028 bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata dua pesawat telah diterima setakat ini, manakala empat lagi dijadual tiba pada April tahun depan sebelum berlangsungnya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027.

Beliau berkata baki 12 pesawat dijangka diterima pada Mac 2028, sekali gus melengkapkan penghantaran keseluruhan 18 pesawat yang diperoleh kerajaan.

“Semua pesawat akan berpangkalan di Kuantan, Pahang manakala penempatan seterusnya akan dipertimbangkan selepas pesawat Hawk ditamatkan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Angkat Madani di SK Panchor.