Menteri Besar Ismail Lasim mengesahkan penarikan balik surat kepada Raja-Raja Melayu bertarikh 17 Sept, sekali gus mengekalkan status quo Tuanku Muhriz.
SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Ismail Lasim mengesahkan penarikan balik kandungan surat kepada Raja-Raja Melayu dan pendirian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan, sekali gus mengekalkan status quo Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata surat yang tular dan dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad itu jelas serta tidak memerlukan penjelasan lanjut.
“Anda semua sudah baca, semua dah tular. Semua media dah banyak komen. Jadi, saya mengesahkanlah surat itu. Surat itu sudah cukup jelas dan tidak memerlukan penjelasan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, hari ini.






