Kota Bharu: Memanfaatkan platform di media sosial untuk menarik minat pelajar supaya hadir ke sekolah dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang digemari akhirnya membuahkan hasil.

Enam tahun bergelar pencipta kandungan pendidikan di TikTok, Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai 'Sir Asai,' ,50, akhirnya membuktikan bahawa kaedahnya itu berjaya menjadikan pelajarnya bukan sahaja tidak 'takut' untuk berbahasa Inggeris, malah isu ponteng juga kini sifar.

Beliau yang sudah berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2, di sini, sejak 2018 berkata, perjalanannya selama enam tahun sebagai pencipta kandungan boleh dianggap berjaya kerana mampu melahirkan ramai pelajar yang semakin menguasai bahasa kedua itu.