BANGKOK: Agensi pelancongan Thailand pada Jumaat melancarkan festival cahaya di sepanjang Sungai Chao Phraya di Bangkok, menampilkan pertunjukan laser, dron dan bunga api secara percuma sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mempromosi pelancongan malam ketika musim kemuncak pelancongan, lapor Xinhua.

Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) menjangka acara selama sebulan yang dikenali sebagai Vijit Chao Phraya 2026 itu akan menarik lebih 1.4 juta pengunjung dan menjana perbelanjaan sekurang-kurangnya 8.6 bilion baht (kira-kira US$253.87 juta) sebelum berakhir pada 13 Disember.

Menteri Pelancongan dan Sukan, Surasak Phancharoenworakul, berkata Sungai Chao Phraya, laluan air utama ibu negara itu, melambangkan sejarah, budaya, seni bina dan cara hidup masyarakat Thailand sejak turun-temurun.