ISTANBUL: Tentera Laut Iran hari ini memaklumkan dua kapal tangki minyak terbakar di bahagian timur Selat Hormuz selepas terlanggar periuk api atau ranjau laut, lapor Anadolu Ajansi yang memetik akhbar tempatan.

"Kebakaran dan letupan adalah akibat yang menanti kapal tangki yang terlibat dalam kegiatan haram, mematikan sistem pengesanan mereka dan beroperasi di kawasan larangan," menurut tentera laut itu dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim.

Kenyataan itu tidak mendedahkan identiti kapal tangki berkenaan, negara pendaftarannya atau tahap kerosakan yang dialami. Tiada pengesahan bebas segera mengenai insiden itu.

Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menghubungkan Teluk dengan Teluk Oman, berdepan gangguan berulang sejak serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari.