Bukit Rambai: Gelombang biru yang menyaksikan sokongan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka didakwa dipengaruhi tekanan ekonomi dalam kalangan peniaga serta keperluan masa depan lebih baik bagi golongan muda.
Pengerusi MCA Melaka, Datuk Lim Ban Hong berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi interaksi dan pertemuan dengan pengundi sepanjang tempoh kempen, khususnya dalam kalangan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang berkata, rata-rata peniaga menyuarakan kesukaran ekonomi, kemerosotan perniagaan serta kekurangan peluang untuk menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih baik.








