SHAH ALAM – Siapa kata anak muda di desa perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan membina kehidupan lebih baik?Dengan penguasaan kemahiran teknikal, teknologi serta keusahawanan, golongan belia luar bandar kini mempunyai peluang untuk membina perniagaan sendiri, menjana pendapatan malah menyediakan pekerjaan kepada masyarakat setempat.Perubahan itu sekali gus memperlihatkan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar laluan alternatif untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya mampu menjadi landasan kepada pembentukan usahawan baharu yang menggerakkan ekonomi desa.Bidang seperti automotif, penyaman udara, kejuruteraan, automasi, reka bentuk digital dan teknologi maklumat misalnya, menawarkan ruang kepada anak muda untuk mengembangkan kemahiran praktikal menjadi perkhidmatan serta perusahaan yang mempunyai nilai komersial.Malah, dengan perkembangan teknologi dan perubahan keperluan pasaran, peluang untuk mengembangkan perniagaan tidak lagi terbatas kepada kawasan setempat, sebaliknya boleh diperluas menerusi platform digital dan perdagangan elektronik (e-dagang).Perkembangan itu selari dengan aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi agenda Ekonomi Desa Nasional (EDN), yang antara lain memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, peningkatan pendapatan dan pengukuhan ekosistem ekonomi luar bandar.Antara contoh yang memperlihatkan potensi berkenaan ialah kejayaan alumni GIATMARA yang berjaya menterjemahkan kemahiran teknikal kepada perusahaan yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.Di Perlis, Muhammad Anis Hussin, 33, membuktikan kemahiran dalam bidang teknologi penyejukbekuan dan penyaman udara mampu menjadi asas untuk membina kerjaya serta perniagaan sendiri.Alumni GIATMARA Padang Besar itu memulakan langkah dalam bidang berkenaan dengan bekerja selama tiga tahun di sebuah syarikat di Kangar selepas menamatkan latihan kemahiran dan memperoleh sijil berkaitan.Berbekalkan pengalaman industri, beliau kemudian menubuhkan Fayyadh Cooling Enterprise secara kecil-kecilan dengan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan penyaman udara.Daripada operasi yang pada awalnya diusahakan sendiri, perniagaan itu kini berkembang dengan menawarkan perkhidmatan pemasangan dan pembaikan penyaman udara, pembaikan peti sejuk serta pendawaian elektrik.Lebih menarik, perusahaan berkenaan kini mempunyai tiga pekerja dan meluaskan perkhidmatan kepada pelanggan di sekitar Perlis serta Kedah."Selepas menamatkan pengajian di GIATMARA dan memperoleh sijil kemahiran, saya tidak terburu-buru untuk memulakan perniagaan sendiri."Sebaliknya, saya mengambil keputusan menimba pengalaman dalam industri terlebih dahulu dengan bekerja di sebuah syarikat di Kangar."Pengalaman tersebut menjadi langkah awal yang penting untuk membina keyakinan, mengasah kemahiran dan menyediakan diri sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang keusahawanan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Kisah