KULAI: Jabatan Imigresen Johor menahan 205 warga asing dalam serbuan ke atas beberapa blok rumah pangsa di Taman Desa Idaman di Senai, pagi tadi.

Semua warga asing berusia antara 20 hingga 56 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu Imigresen Johor dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada jam 1.30 pagi.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli, berkata semua warga asing itu terdiri warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Nepal, Thailand, Pakistan dan India.

Hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa di Malaysia.