New York: Jersi Michael Jordan yang dipakai ketika aksi ketiga Final NBA 1998 terjual pada harga AS$12.26 juta (RM50.12 juta) dalam lelongan pada Selasa, sekali gus memecahkan rekod memorabilia milik legenda bola keranjang itu.
Jersi berkenaan dipakai Jordan pada musim keenam dan terakhirnya memenangi kejuaraan NBA bersama Chicago Bulls dalam kempen terakhirnya yang dikenali sebagai 'Last Dance'.
Jersi itu ditawarkan oleh usahawan Rob Gough dan dilelong menerusi Joopiter, rumah lelong digital milik Pharrell Williams.
Harga berkenaan memecahkan rekod terdahulu memorabilia Jordan yang mencatat AS$10.091 juta (RM41.25 juta) bagi jersi yang dipakai dalam aksi pertama final yang sama.
"Jarang ada objek dalam sejarah sukan yang melambangkan kehebatan sehebat jersi Michael Jordan dalam aksi ketiga Final NBA 1998," kata Joopiter dalam catatan lelongan dalam talian bagi jersi itu yang dianggarkan bernilai antara AS$10 juta (RM40.88 juta) hingga AS$15 juta (RM61.32 juta).






