101 Malay Love Pantuns merupakan sebuah karya penting hasil pilihan, susunan dan terjemahan Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Buku yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2025 setebal 105 halaman ini menghimpunkan 101 pantun Melayu pilihan yang berpusat pada tema cinta.
Kehadiran karya ini memperlihatkan usaha yang signifikan dalam mengangkat khazanah pantun Melayu ke ruang pembacaan yang lebih luas, khususnya melalui penyatuan teks asal, terjemahan bahasa Inggeris dan unsur visual.
Secara keseluruhannya, kekuatan buku ini terletak pada kepelbagaian sumber yang menjadi asas pemilihan pantun. Antara sumber penting yang dirujuk termasuklah Pantun Melayu, Manuskrip Projek Himpunan Pantun Nusantara, Kurik Kundi Merah Saga dan Pantun Dua Kerat. Pemilihan daripada pelbagai sumber ini menjadikan buku tersebut kaya dengan variasi bahasa, citra dan pengalaman masyarakat Melayu serta Nusantara.








