Madrid: Ikon Argentina, Lionel Messi, secara rasmi mengambil alih Eldense, kelab divisyen kedua Sepanyol, umum kelab berkenaan semalam.

Eldense yang berpangkalan di kawasan pedalaman berhampiran Alicante itu menjadi kelab kedua dalam bola sepak Sepanyol yang dimiliki bekas penyerang Barcelona berkenaan selepas beliau membeli Cornella, berhampiran Barcelona, pada April lalu.

"Club Deportivo Eldense secara rasmi mengumumkan pengambilalihan oleh Leo Messi.

"Ditubuhkan pada 1921, CD Eldense memulakan lembaran baharu dengan cita-cita untuk mengukuhkan kedudukan dan berkembang dalam bola sepak profesional," kata kelab itu dalam satu kenyataan di laman dalam talian mereka.

Messi, 39, beraksi bersama Inter Miami sejak tahun 2023 dan menurut laporan media, kontraknya mengandungi peruntukan untuk beliau menjadi pemegang saham dalam kelab Major League Soccer (MLS) itu selepas bersara daripada bola sepak.